Powered By Blogger

Followers

Sunday, June 5, 2011

...Sabar & SyukUr...

”Sabar menghadapi musibat adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Adapun bala dan musibat, ia menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu syukurilah kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.”
                                                                                                                                                                -Imam Syafie-

Musibat dan Nikmat

Musibat dan nikmat adalah cubaan daripada Allah supaya manusia sedar dan kembali mengingati kekuasaan Allah. Manusia mempunyai sifat yang berbeza terutama dalam menghadapi susah, musibat, bala malapetaka, kesenangan dan kenikmatan.

Jangan Ingkar

Ada golongan manusia yang ingkar bahawa kenikmatan dan malapetaka itu datang daripada Allah sebagai ujian. Bagi mereka gempa bumi, banjir, hama, kebakaran serta angin taufan itu adalah bencana alam, bukan daripada Tuhan. Apabila kesulitan yang menimpa diri mereka pulih kembali dan berakhir seperti sakit yang lama kemudian sembuh, miskin kemudian kaya dan berakhir. Namun, mereka tetap kufur dengan pemberi nikmat daripada Allah.

Jangan Mengeluh

Ada pula individu-individu yang kurang yakin dalam keimanannya dan kerap mengeluh. Apabila mendapat cubaan yang berbentuk musibat dan malapetaka, mereka ingkar kepada Allah. Solat dan puasa ditinggalkan.
                Orang yang demikian apabila memperoleh kekayaan, dia sombong. Kedudukan yang ada digunakan untuk kepentingan tangan sendiri. Apabila memperoleh ilmu pengetahuan, ia digunakan bagi merugikan orang lain. Hal ini terjadi apabila semua diperoleh dengan jalan yang tidak wajar.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.”
                                                                                                                                                                Riwayat al-Hakim

Jangan Ingat di Kala Susah, Lupa di Kala Senang

Golongan berikut adalah individu-individu yang apabila mendapat kesulitan, musibat, malapetaka ataupun kemiskinan, mereka mengingati Allah. Tetapi selepas memperoleh kenikmatan, mereka lupa kepada-Nya. Apabila ditimpa kesusahan mereka berdoa. Sebaliknya, apabila menikmati kesenangan mereka lupa.
                Inilah individu-individu yang apabila memperoleh nikmat lupa kepada Allah. Tetapi apabila ditimpa musibat, baru ingat kepada Allah sebagaimana pernyataan Allah dalam surah Fussilat ayat 51.

Yang bermaksud :
“Dan apabila kami berikan nikmat kepada manusia, dia berpaling dan menjauhkan diri (dengan sombong); tetapi apabila ditimpa malapetaka maka dia banyak berdoa.”
                                                                                                                                                Surah Fussilat Ayat 51

Beriman dan Yakin

Golongan yang paling tinggi darjatnya adalah orang yang beriman dengan penuh yakin. Apabila memperoleh nikmat, dia bersyukur dengan ucapan dan perbuatannya. Apabila ditimpa malapetaka atau kesusahan, dia tetap bersabar. Iman, ibadah dan akhlaknya tidak mudah terpengaruh baik senang mahupun susah.

Ingatlah bahawa setiap dugaan dan cabaran daripada-Nya merupakan salah satu cabang kasih sayang Allah kepada umatnya, kerana sekiranya tidak diduga seseorang umat itu tidak akan tahu di mana tahap kesabaran dan tahap keimanan seseorang itu. Dugaan dan cabaran mengajar seseorang itu erti kesyukuran dan mengerti bahawa kehidupan di dunia itu bukan hanya untuk ber’enjoy’, tetapi adalah untuk menjadi khalifah untuk-Nya. Bersyukur kerana kita masih bernyawa untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan onak dan cabaran supaya menjadikan kita lebih matang. Semasa hidup hendaklah kita berfikir bahawa adakah kita cukup bersyukur dan bersabar atas ketentuan-Nya atau hanya tahu mengeluh dan berdoa untuk mendapatkan kesejahteraan dan kesenangan apabila mendapat musibah, malapetaka mahupun dugaan.

Sekian, wassalam   


No comments:

Post a Comment